Wednesday, July 31, 2013

Bagaimana cara anda menulis novel?



Terus sahaja, atau anda membuat rangka terlebih dahulu? Ada penulis novel yang merangka di dalam kepalanya, dan dia ingat semuanya. Bagi saya sendiri, saya tidak mampu merangka tanpa mencatitnya di mana-mana. Saya kagum pada penulis novel yang mampu menghasilkan karya bermutu dengan merangka di dalam fikirannya sahaja.

Bagi kita yang menulis novel dengan cara biasa ini (dengan membuat catatan kerana sifat manusia yang pelupa ini), anda tentu ada cara merangka manuskrip anda. Setiap penulis novel mempunyai cara masing-masing, mengikut keselesaan dan kemampuan masing-masing juga. Saya akan membincangkan tentang dua cara merancang yang biasa digunakan-iaitu merangka berdasarkan watak dan merangka berdasarkan plot cerita.

Setiap satu cara itu mempunyai kelebihan masing-masing. Seorang penulis novel yang merangka karyanya melalui watak biasanya mempunyai satu kertas/tempat catatan yang disusun mengikut nama watak-watak di dalam ceritanya. Dari situ, penulis novel ini akan menulis apa sahaja berkaitan setiap wataknya seperti rupa, sikap, apa sahaja konflik yang dihadapi oleh watak-watak ciptaannya dan sebagainya. Sambil itu, dia akan menulis ceritanya dan menggabungkan watak-watak tersebut. Penulisan sebegini akan membuatkan watak kelihatan hidup, tidak lari dari segi sikap, rupanya dan kisah dan penyelesaian bagi setiap watak tidak tergantung dan selesai dengan elok. 

Malangnya, anda tidak boleh bergantung pada teknik sebegini semata-mata. Menulis sebegini boleh membuatkan konflik menjadi meleret dan sukar merangka penyelesaian cerita. Contohnya, pernahkah anda melihat drama bersiri Indonesia di televisyen yang disiarkan setiap petang. Sebagai penulis, anda tentu perasan bagaimana hidupnya watak baik dan jahatnya, tetapi ceritanya berulang-ulang dan menjemukan. Cerita sebegini, jika tidak ditonton selama seminggu sekalipun, anda masih tidak ketinggalan apa-apa, kerana anda telah boleh menjangka apa yang akan terjadi.

Bagaimana pula merangka menggunakan plot semata-mata? Contohnya, anda telah merangka apa yang akan terjadi di bab pertama, kedua dan seterusnya sehinggalah anda telah tahu apa yang akan ditulis di bab akhir . Kebaikan menulis sebegini, cerita anda akan jadi kemas, setiap bab ada signifikannya pada bab yang lain, contohnya satu kejadian di bab tiga rupa-rupanya amat penting dan cerita tentangnya timbul semula di bab enam belas! Maksudnya, jika pembaca lompat beberapa perenggan, mungkin dia akan rugi dan tidak faham apa yang berlaku di bab yang berkait dengannya itu. Jadi, pembaca tidak akan mahu tertinggal membaca walau sebaris!

Malangnya, cara begini juga ada kekurangannya. Sekiranya anda hanya bergantung pada plot, cerita anda akan jadi kaku, dan watak akan kurang hidup. Mungkin pembaca akan berasa seperti membaca rencana pula.

Kesimpulannya, anda mesti bersedia untuk menulis berdasarkan kedua-dua teknik ini. Anda haruslah mempunyai satu catatan berdasarkan watak-watak dan satu lagi catatan berdasarkan plot antara bab-bab. Dengan gabungan dua cara ini, cerita anda akan nampak hidup dan menarik plotnya. Namun, saya ingin menambah satu lagi cadangan. Kalau boleh, plot anda itu janganlah terlalu tetap, sehingga tidak berubah-ubah lagi. Sekiranya sesuai dan perlu, anda ubah suailah sedikit sebanyak. Apabila anda tidak berasa terkongkong, penulisan novel anda akan menjadi lebih bebas, dan karya anda akan menjadi lebih menarik.

Semoga artikel ini bermanfaat untuk anda, Insya Allah.

Dipetik daripada: http://nurulsham-saidin.blogspot.com/

Tuesday, July 30, 2013

Penghargaan pada novel cinta


SEJAK beberapa tahu tahun lalu, novel cinta yang diterbitkan oleh berbagai penerbitan mendapat pasaran hebat terutama daripada dalam kalangan remaja perempuan. Novel cinta yang laris kebanyakannya dihasilkan oleh penulis wanita yang berumur antara 20 hingga 35 tahun. Kebanyakan novel yang dihasilkan tebal antara 500 hingga 1000 halaman.

Penulis wanita yang masih muda ini kebanyakannya mempunyai tenaga dan daya pemikiran yang segar. Mereka sanggup berjaga malam untuk menyiapkan sesebuah novel dan ini patut diberi pujian.
Mereka menulis berdasarkan pengalaman yang dilalui yang bersamaan pula dengan yang dilalui oleh pembaca. Pertautan pengalaman menyebabkan novel itu laris kerana kisahnya dekat di hati pembaca.
Ini bertepatan dengan kata pengarang Indonesia B.Simorangkir Simanjuntak dalam Kesusasteraan Indonesia bahawa "Kesusasteraan adalah cermin jiwa, getaran sukma pengarang, kesusasteraan harus tumbuh di tengah rakyat oleh rakyat untuk rakyat yang menggambarkan suka duka, harap cipta dan kerja cipta rakyat."

Seorang lagi pengarang Indonesia melalui bukunya Punca Sastera Indonesia, menegaskan "Kesusasteraan adalah manifestasi daripada gerak kerja jiwa manusia yang wujud dalam pernyataan bahasa. Pada hakikatnya kesusasteraan atau seni sastera itu Ialah bingkisan kata yang dipersembahkan oleh sasterawan sebagai hadiah kepada masyarakat."

Berdasarkan kenyataan ini novel cinta boleh dianggap termasuk dalam kategori sastera walaupun bagi setengah orang ini lebih kepada sastera popular mainan para remaja. Namun begitu sastera popular ini mendapat sambutan hebat dalam kalangan pembaca. Sastera serius yang penuh nilai estetika ternyata tidak mendapat sambutan kerana nilainya hanya difahami oleh segelintir sahaja dan bukan masyarakat biasa.
Pelbagai novel yang hasilkan berligar kehidupan cinta para remaja, alam berumah tangga dan lain-lain. Novel Ombak Rindu karya Fauziah Asyaari umpamanya berjaya mencetus fenomena apabila ia mendapat sambutan hebat dalam kalangan pembaca tua dan muda.

Apabila diadaptasi menjadi filem maka kelarisan novel itu meningkat sehingga puluhan ribu naskah. Novel-novel lain yang dijadikan drama termasuk Adam dan Hawa karya Aisya Sofea dan siri Trilogi Cinta 1 dan 2 karya Sharifah Abu Salem.

Antara novel kisah cinta yang laris pada tahun 2012 ialah Isteri Sepenuh Masa, Sebenarnya Saya Isteri Dia, Maaf jika Aku Tak Sempurna, Jodoh itu Milik Kita, Dia Segalanya, Kasih Antara Kita, Kan ku Cinta Mu, Lafazkan Kalimah Cinta Mu, Suamiku Ustaz, Kejora Di Langit Cinta, Seindah Sakura, Love You Mr Arrogant dan banyak lagi.
Tahun 2011, lima novel yang dicatatkan mendapat sambutan hebat ialah Akhirnya Aku Miliki karya Hanna Dania, Cinta Kontrak (Nurul Ain Syuhada), Uda dan Dara (Aisya Sofea), Yes Bos (Rosmizah). Selain novel-novel ini banyak lagi novel lain yang mencatat jualan yang tinggi.

Antara novelis wanita yang novelnya berjaya dijual sehingga ratusan ribu ialah Ain Maisarah, Sharifah Abu Salem, Aisya Sofea, Anis Ayani, Damya Hanna, Dhiya Zafira, Shahriah Abdullah dan Siti Rosmizah.
Ain Maisarah umpamanya telah menghasilkan 33 buah novel dan novelnya berjaya dijual sehingga 200 hingga 500 ribu naskah, Fauziah Asyari pula menghasilkan tujuh buah novel berjaya dijual sehingga lebih 500 ribu naskah, Aisya Sofea pula menghasilkan sembilan novel dan berjaya dijual sehingga 600 ribu naskah, Anis Ayani menghasilkan sembilan novel dan novelnya berjaya dijual sehingga 600 ribu naskah.

Ada novelnya yang dicetak sehingga lapan kali, Damya Hanna berjaya menghasilkan lapan novel dan berjaya dijual sehingga 500 ribu. Ada novelnya diulang cetak sehingga 18 kali.

Kelahiran penulis-penulis wanita yang menghasilkan novel cinta ini merupakan satu fenomena yang perlu diberi perhatian. Ia berjaya memecah tembok kelarisan buku di Malaysia.

Selama ini kita mendengar novel-novel serius yang dihasilkan oleh penulis terkenal tidak laris di pasaran. Pembaca tidak membelinya kerana kurang faham atau cerita yang dipaparkan jauh daripada hati mereka.
Dalam kalangan penulis wanita itu terdapat juga beberapa orang penulis lelaki yang mencebur diri dalam genre novel cinta antara yang berjaya ialah Ramlee Awang Murshid yang telah berjaya menghasilkan 16 buah novel dan novel-novelnya dikatakan berjaya dijual sehingga 500 ribu naskah lebih.

Di Indonesia pun ada novel cinta dan mendapat pasaran meluas. Menurut sumber, ada sepuluh novel cinta berunsur Islamik yang mendapat sambutan hangat antaranya karya penulis Habiburrahman el Shirazy dengan novel-novel seperti Ayat-Ayat Cinta, Dalam Mihrab CintaKetika Cinta Bertasbih, Cinta Berbunga Syurga, dan Di Atas Sejadah Cinta.

Penulis Indonesia lain yang buku mereka mendapat sambutan hangat termasuklah Taufigrahman Al Azizi dan Abidah el Khaliegy. Taufig umpanya menghasilkan novel Musafir Cinta, Shahadat Cinta, Munajat Cinta dan Makrifat Cinta manakala Abidah pula menghasilkan Perempuan Berkalong Sorban.

Malang sekali novel serius yang berestetika tinggi tidak digemari pembaca, hendak dijual tiga ribu naskah pun terpaksa mengambil masa sehingga tiga hingga lima tahun.

Berbanding dengan novel cinta, dalam setahun sudah puluhan ribu dapat dijual. Dan penulis berjaya memperoleh royalti yang lumayan. Ada penulis novel cinta yang berjaya membeli kondominium dan kereta mewah hasil royalti novel cinta.

Kalangan sasterawan mungkin menganggap novel cinta sebagai buku picisan yang kurang wajar diberi perhatian. Mungkin mereka menganggap ini tidak termasuk dalam kategori sastera yang patut dikembangkan dan diberi perhatian. Tetapi masyarakat ternyata meminati karya seperti ini.

Mungkin ada yang menganggap sasterawan menulis bukan kerana duit. Ia lebih bertujuan kepada hendak memperkembangkan sastera di kalangan pembaca. Tetapi kalau novel serius yang dihasilkan tidak mendapat sambutan bagaimanakah sastera hendak dikembangkan dalam kalangan masyarakat. Bukankah kita menjadi penulis syok sendiri dan mendapat habuan lebih apabila buku kita memenangi hadiah sastera dan lain-lain.
Tanpa hiruk pikuk dan hadiah-hadiah sastera, penulis wanita yang bilangannya beratus orang kini sedang bergerak menghasilkan novel-novel yang terlaris dalam kalangan pembaca. Kejayaan mereka patut diberi perhatian.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) patut memasukkan kategori hadiah novel terlaris pada setiap kali Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) diadakan . DBP patut memikirkan perkara ini supaya penulis-penulis wanita itu diberikan penghargaan walaupun mereka telah menikmati hasil penulisan yang lumayan.


Kredit: http://www.utusan.com.my/

Saturday, July 27, 2013

Tips mengatasi Writer's Block?

Seorang penulis sering mengalami situasi "Writer's Block". Apakah dia "Writer's Block"?

Menurut WikiWriter’s block is a condition, associated with writing as a profession, in which an author loses the ability to produce new work. The condition varies widely in intensity. It can be trivial, a temporary difficulty in dealing with the task at hand. At the other extreme, some “blocked” writers have been unable to work for years on end, and some have even abandoned their careers. It can manifest as the affected writer viewing their work as inferior or unsuitable, when in fact it could be the opposite.

Terjemahannya:

Writer's Block adalah situasi berkaitan dengan menulis sebagai profesyen, dimana seorang penulis kehilangan kemampuan untuk menghasilkan karya yang baru. Situasi ini luas variasinya. Ia mungkin perkara yang kecil sahaja, berbentuk sementara sahaja. Jika dalam situasi yang ekstrim,  ada penulis-penulis yang tidak berdaya menghasilkan karya selama bertahun, atau terus meninggalkan profesyen menulis. Ini  terjadi kerana penulis yang terbabit beranggapan bahawa karya mereka berbentuk inferior atau tidak sesuai, walhal  ia mungkin sebaliknya.


Di sini saya kongsikan tips untuk mengatasi "Writer's Block" melalui video di bawah.



Semoga video ini dapat membantu anda yang ingin menulis novel. Selamat berjaya!

Sumber inspirasi untuk menulis novel



Seorang penulis bernama William Faulkner pernah berkata, “Baca, baca, baca. Baca segalanya: tulisan “sampah”, tulisan klasik, tulisan yang baik dan tulisan yang buruk. Amatilah bagaimana cara mereka menulis. Buatlah seperti seorang tukang kayu yang baru dan sedang belajar dari  master (ketika membaca dan mengamati tulisan novel orang lain ). Bacalah! Anda akan menyerap banyak pelajaran.”
Dia melanjutkan, “Kemudian buatlah catatan. Jika itu baik, Anda akan tahu. Jika tidak, buanglah.”
Ya, bacalah apa saja: Quran, buku,  novel yang best seller, cerpen yang menarik, novel “sampah”, cerpen yang tidak bermutu. Bacalah! Anda akan menemukan banyak cara membuat novel yang baik. Anda akan menemukan banyak pelajaran. Yang baik adalah pelajaran, yang buruk juga adalah pelajaran.
Selamat membaca !

Thursday, July 25, 2013

Mencipta suasana yang kondusif untuk menulis

Setengah penulis novel memerlukan ketenangan untuk menulis supaya otak tidak serabut dan menjadi lebih produktif. Setengah pula, terutama yang 'Old Timer' boleh menulis dalam apa keadaan apa sekalipun. Idea masih datang mencurah-curah dan plot cerita berkembang cantik.

Di sini saya kongsikan beberapa tips untuk membantu anda mendapatkan suasana yang kondusif untuk anda berkarya.


1.       Ruang kerja
Tidak semesti bekerja dalam ruang yang besar, Kalau ruang kerja anda kecil, memadailah jika ia bersih dan teratur-tidak semak kerana ini tidak dapat membantu merangsang daya kreatif anda.

2.       Cahaya/Keterangan
Jika anda bekerja dengan komputer, pastikan bahawa posisi komputer anda itu tidak menyebabkan silau. Ini dapat membantu melegakan tekanan mata. Pastikan juga tiada cermin di belakang anda, kerana ini akan menyebabkan pencahayaan yang terlalu terang ke skrin komputer anda.

3.       Posisi
Komputer anda harus berada 1 1/2 hingga 2 kaki jarak dari muka anda dan sama paras dengan mata anda-jadi tidaklah anda terpaksa mendongak sehingga boleh menyebabkan sakit tengkok anda. Jika ada letakkan bantal di belakang anda, ini dapat membantu anda daripada membongkok semasa bekerja. Posisi duduk tegak ini dapat mengawal tahap oksigen dalam darah anda dan boleh mengelak anda daripada cepat berasa penat dan terus fokus pada penulisan anda. Duduk dengan kaki di atas 'foot stool' dapat mengelakkan anda daripada sakit belakang.

4.       Bergerak
Jika anda duduk terus dan tidak bergerak daripada kerusi anda semasa menulis novel, anda mungkin cepat berasa bosan. Bangun dan bergerak untuk 10 minit setiap jam dan anda akan merasakan yang produktiviti anda akan meningkat. Anda juga boleh memainkan muzik kegemaran anda dan MENARI!!

Jika anda dapat berhenti sebentar untuk meregangkan otot-otot anda, ini dapat mengelak anda daripada Carpal-Tunnel Syndrome (suatu keadaan di mana tangan anda berasa sakit selepas menaip di komputer). Pegang jari-jari anda bersama dan regangkan ke belakang untuk melegakan jari-jari anda,

5.       Minum air yang banyak. Ini tidak payahlah saya huraikan lagi.

6.       Rehat
Jika anda berasa bahawa mata anda tidak boleh dibuka lagi, pergilah tidur dan rehatkan mata anda. Anda juga boleh keluar berjalan sebentar di luar rumah untuk melancarkan darah anda. Ramai yang tidak tahu betapa implikasi menulis novel ke atas mata dan mental anda. Menulis novel adalah seperti menyertai 'marathon' dan bukan sekadar 'sprint' sahaja!
   
Memaksa diri anda untuk terus menulis adalah tidak baik. Kembali menulis selepas berehat  dengan secukupnya dan produktiviti anda akan meningkat dua kali ganda selepas itu.

7.       Menyediakan alat kelengkapan yang diperlukan semasa menulis seperti:

          Dictionary/Kamus
          Thesaurus
          Pen, buku nota, kalendar (untuk mengawalselia diri anda sendiri)
          Papan tulis putih-untuk melukis plot novel anda

8.       Elakkan Gangguan:
Bunyi bising-gunakan headphone jika ingin mengurangkan gangguan bunyi bising di luar rumah.

Kadang-kadang bau sesuatu yang tidak menyenangkan boleh mengganggu penulisan anda. Tetapi jika anda melahirkan bau seperti bau kulit kayu manis yang digunakan dalam novel anda, ia akan membangkitkan suasana di dapur dan anda sudah tentu boleh bercerita  dengan lebih nyata tentang bau itu dan kaitkan dengan adegan yang anda menulis pada masa itu.

Kesimpulannya, sediakan strategi yang kecil-kecilan untuk membantu anda berasa HAPPY semasa menulis novel anda. Inspirasi akan datang bila anda 'having fun'.